arena

Simona teruja jumpa Maria

Oleh AFP

NEW YORK: Pilihan kedua Simona Halep menjangkakan cabaran getir apabila dia menjadi lawan pertama Maria Sharapova dalam aksi Grand Slam pertama selepas penggantungan doping pada pusingan pertama Terbuka AS.

Hanya beberapa hari selepas mensia-siakan peluang ketiga merampas tangga nombor satu dunia dengan kekalahan mengaibkan pada final di Cincinnati, pemain Romania berusia 25 tahun itu berada di gelanggang latihan apabila dia menerima mesej dia akan bertemu musuh dari Russia yang mendahului 6-0 ke atasnya.

“Sudah tentu saya berasa, ‘Bagaimana ia boleh berlaku? Hanya pusingan pertama acara Grand Slam.’ Tapi saya berasa OK,” kata Simona semalam. “Saya berlatih seperti biasa. Saya tidak perlu bersedih atau marah. Saya biasa saja.”

Simona, naib juara Terbuka Perancis dua kali, memulakan satu lagi kempen memburu gelaran sulung Grand Slam menentang juara lima gelaran utama Maria, yang menjalani penggantungan 15 bulan selepas diuji positif meldonium pada Terbuka Australia 2016.

Maria menang 22 perlawanan pusingan pertama Grand Slam berturut-turut sejak kalah awal pada Terbuka Australia 2010. Dia juga memiliki rekod menang 10-0 pada pusingan pertama Terbuka AS.

“Ia satu cabaran besar, pusingan pertama Grand Slam untuk bertemunya,” kata Simone. “Dia menundukkan saya enam kali. Jadi mungkin saya akan mengubah semua itu. Kita tunggu dan lihat Isnin ini.

“Saya hanya mahu melakukan yang terbaik, cuba memenangi perlawanan dan sudah tentu berseronok. Jelas ia satu perlawanan besar.”

Maria melakukan kemunculan semula April lalu di Stuttgart, layak ke separuh akhir sebagai pemain wildcard, namun jemputan sebegitu mengundang kritikan daripada sesetengah pencabar WTA, menyatakan dia patut bekerja keras dari bawah tanpa mendapat faedah sebegitu dan sesetengahnya mencadangkan penggantungan seumur hidup.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 12:18pm
d