arena

Setuju bayar RM916 juta untuk Mbappe

Oleh AFP

PARIS: Pemain muda sensasi AS Monaco, Kylian Mbappe dijangka melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain apabila dia hadir ke ibu negara Perancis itu hari ini, menurut laporan meluas media Perancis, semalam.

Stesen radio Perancis, Info dan RMC melaporkan PSG bersetuju membayar 180 juta euro (RM916 juta) termasuk bonus buat penyerang kebangsaan Perancis berusia 18 tahun itu.

Ia akan menjadikannya pemain kedua termahal dalam sejarah bola sepak di belakang Neymar, yang menyertai PSG dari Barcelona dengan harga 222 juta euro (RM1.1 bilion) awal bulan ini.

Bagaimanapun, kebimbangan melanggar peraturan kewangan UEFA bermakna PSG mungkin mengikat Mbappe secara pinjaman terlebih dahulu, menurut akhbar sukan harian L’Equipe.

“Monaco dan PSG bersetuju bagi perjanjian pinjaman buat Kylian Mbappe ke kelab Paris itu semalam dengan pilihan membelinya dengan harga 180 juta euro,” menurut L’Equipe, menambah Mbappe akan menjalani pemeriksaan perubatan petang ini.

Mbappe dijadual pergi ke ibu negara itu petang ini di samping pemain sayap Monaco, Thomas Lemar bagi menyertai latihan skuad kebangsaan Perancis.

Perancis akan turun bermain pada kelayakan Piala Dunia menentang Belanda di Stade de France awal pagi Jumaat ini dan satu lagi perlawanan menentang Luxembourg di Toulouse minggu depan.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menegaskan minggu lalu ketika beliau menamakan skuad pemain tidak dibenar untuk meninggalkan kem pasukan kebangsaan di Clairefontaine, kira-kira 50 kilometer ke selatan Paris, untuk melengkapkan urusan perpindahan.

Ketika jendela perpindahan ditutup Khamis ini, ia bermakna Mbappe dijangka melengkapkan perpindahan itu hari ini, membolehkannya berganding dengan Neymar dan Edinson Cavani di jentera serangan PSG selepas rehat tugasan antarabangsa.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 9:52am
d