arena

Wushu cemerlang

Oleh HM Digital

Taipei:Pingat tanpa mengira warna seakan hampir pasti menjadi milik skuad wushu negara di Universiade Taipei hari ini.

Malaysia mempunyai wakil dalam acara Taijiquan, Taijijian, Nanquan dan Nangun lelaki serta wanita.

Ketiadaan atlet China dalam acara Nanquan dan Nangun mencerahkan peluang skuad wushu untuk memburu emas apatah lagi Calvin Wai Leon Lee menamatkan aksi Nanqun di kedudukan kedua selepas mengumpul 9.38 mata di Gymnasium County Hsinchu, Taipei, semalam.

Bagaimanapun, halangan besar Calvin pada final acara itu yang dijadualkan esok sudah pasti datangnya dari atlet wushu tuan rumah, Hsu Kai Kuei yang beraksi mantap untuk mengumpul 9.68 mata di kedudukan pertama. Kedudukan ketiga dipegang atlet Korea Selatan, Lee Yangmun dengan 9.36 mata.

China menghantar wakil dalam acara Nanquan dan Nandao wanita sekali gus menyukarkan peluang Tan Cheong Min walaupun ketika ini dia menduduki tangga kedua selepas mengumpul 9.43 mata.

Cheong Min perlu beraksi lebih cemerlang jika mahu mengatasi Li Yuan dari China sambil kedua-dua atlet berkenaan diekori rapat wakil Russia, Daria Gerasimova yang mengumpul 9.34 mata.

Dua lagi atlet wushu negara akan beraksi hari ini bagi penentuan pingat menerusi acara Taijijian dan Taijiquan lelaki dan wanita. Sejarah juga bakal tercipta sekiranya salah seorang daripada mereka merangkul emas buat negara menerusi acara wushu yang kali pertama dipertandingkan di Universiade.

Bagaimanapun, Loh Choon How dari Malaysia yang berada pada kedudukan kedua di belakang wakil China, Kong Fanhui bakal berdepan tugas berat.

Choon How hanya ketinggalan 0.03 mata di belakang Fanhui tetapi perlu memungut mata yang lebih tinggi menerusi acaranya hari ini.

Wakil China turut menjadi penghalang kepada Chan Lu Yi yang mengumpul 9.42 mata di kedudukan ke-4 selepas tamat acara Taijiquan wanita. Lu Yi perlu memungut mata tertinggi bagi menggugat kedudukan Wu Mengyao dari China (9.60 mata), Mok Uen Ying dari Hong Kong (9.59 mata) dan atlet tuan rumah, Chen Yi Ying (9.53 mata) jika ingin menyumbang pingat buat negara.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 12:03pm
d