arena

Peluang Amy bukti kemampuan sebenar

Oleh Aida Adilah Mat & Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng bagaikan ditakdirkan untuk menjadi watak kedua kepada Koi Sie Yan selepas terus dibayangi kejayaan rakan senegaranya itu.

Semalam, Sie Yan yang berusia 18 tahun mengesahkan statusnya sebagai gimnas terbaik di rantau ini apabila memenangi acara individu keseluruhan dengan 63.150 mata selepas mengetepikan cabaran Amy dengan kelebihan 3.050 mata.

Acara itu membabitkan empat disiplin - gelung, bola, belantan dan riben.

Namun hari ini, Amy, 22, mempunyai peluang untuk mengikis bayangan terbabit selepas mereka akan turun bersama lapan peserta negara lain bagi merebut dua emas bagi acara riben dan gelung.

“Selepas lama menjalani latihan, ini masanya untuk saya memberikan persembahan terbaik,” kata Amy ketika ditanya mengenai peluangnya selepas Sie Yan ketika ini sudah memenangi dua emas berbanding dirinya satu.

Kedua-dua gimnas itu kelmarin, turut menjulang skuad gimrama negara meraih emas dalam acara berpasukan bersama Izzah Azman, namun persembahan Sie Yan lebih mencuri tumpuan berbanding Amy apabila mengumpul mata tertinggi berbanding dua rakannya itu.

Selain acara individu riben dan gelung, sukan gimrama juga menawarkan tiga emas lain menerusi acara individu belantan dan bola serta aparatus campuran pada hari terakhir pertandingan hari ini.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 12:27pm
d