arena

Impian Malaysia berkecai

Oleh Devinder Singh

FILIPINA menghancurkan harapan Malaysia untuk merangkul tujuh pingat emas dalam sukan skuasy selepas menundukkan tuan rumah 2-0 pada separuh akhir acara berpasukan lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Ini kali pertama Malaysia gagal meraih emas dalam acara itu sejak 1995 apabila Filipina bertindak kemas mengenepikan juara bertahan itu yang tidak menurunkan barisan pemain utama pada perlawanan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Juara dunia junior 2016 Ng Eain Yow tewas 11-8, 11-3, 11-7 kepada Robert Garcia pada perlawanan pembukaan.

Ia keputusan yang mengejutkan kerana semalam, Eain Yow mudah menundukkan Garcia pada separuh akhir acara individu.

Perseorangan kedua negara Darren Rahul Pragasam turut tumbang 6-11, 11-8, 11-7, 4-11, 11-8 kepada Juan Rafael Yan yang menyaksikan Filipina ceria menyambut kemenangan 2-0.

Filipina akan berhadapan Singapura yang menewaskan Indonesia 2-0 bagi perlawanan merebut emas, esok, manakala Malaysia berkongsi gangsa dengan Indonesia.

Sementara itu, pasukan wanita negara beraksi cemerlang untuk menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan separuh akhir, hari ini.

Andrea Lee menundukkan Catur Yuliana 11-4, 9-11, 11-4, 11-8 manakala Lai Wen Li mengalahkan Rinduri Maulida Arnasty 11-4, 11-5, 11-8.

Malaysia akan menentang Singapura pada final, esok.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 1:37pm
d