arena

Froome semakin hampir cipta sejarah

Oleh AFP

BENITACHELL, Sepanyol: Chris Froome semakin hampir mencipta sejarah merangkul kejuaraan berganda Tour de France-Vuelta a Espana selepas memenangi peringkat kesembilan Vuelta awal pagi tadi untuk mengukuhkan cengkamannya sebagai pendahulu.

Froome menyerang ketika berbaki 500 meter dalam perlumbaan mendaki kategori satu peringkat sejauh 174km dari Orihuela ke Benitachell untuk menang dengan masa 4 jam 7 minit 13 saat mengatasi pencabar terdekatnya Esteban Chaves dan Michael Woods dari Kanada.

“Amat menakjubkan hari ini,” kata Froome.

“Satu perasaan yang bagus untuk menamatkannya dengan jersi merah dan juga jurang besar berbanding pelumba lain.”

Chaves dari Colombia merosot 36 saat di belakang Froome dalam kedudukan keseluruhan dengan pelumba Ireland, Nicolas Roche 1 minit 5 saat di belakang di tangga ketiga.

Namun Froome, yang menyasarkan untuk muncul pelumba ketiga memenangi Tour dan Vuelta dalam tahun sama, mula mengumpul kelebihan besar ke atas pencabarnya dalam kedudukan keseluruhan.

Kemenangan di Cumbre del Sol itu lebih manis buat Froome yang tewas kepada Tom Dumoulin dalam pendakian sama dua tahun lalu.

“Ia masih bermain di fikiran saya pagi ini,” kata Froome.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 1:54pm
d