arena

Vitolo tarik diri

Oleh AFP

MADRID: Pemain Real Madrid, Lucas Vazquez dipanggil Sepanyol bagi aksi genting kelayakan Piala Dunia menentang Itali dan Liechtenstein semalam selepas Vitolo terpaksa menarik diri kerana kecederaan lutut.

Vitolo, pemain sayap Atletico Madrid yang dipinjamkan di Las Palmas hingga Januari depan, muncul antara tonggak utama Sepanyol sejak Julien Lopetegui mengambil alih hanya setahun lalu, menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan kelayakan.

“Pagi semalam ketika latihan, pemain itu mengalami kekejangan di ligamen lutut,” menurut Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) dalam satu kenyataan.

“Selepas rundingan dengan pakar perubatan kelabnya dan RFEF, pemain itu meninggalkan skuad petang ini.”

Vazquez pernah beraksi tiga kali pada peringkat antarabangsa, namun penampilan tunggalnya dalam aksi kompetitif hadir apabila Itali menundukkan Sepanyol 2-0 pada Euro 2016.

Sepanyol akan cuba membalas dendam apabila mereka melayan kunjungan Azzurri di stadium Real, Santiago Bernabeu awal pagi Ahad ini dengan kedua-dua pasukan terikat 16 mata di puncak Kumpulan G kelayakan zon Eropah.

La Roja bertandang ke Liechtenstein pada 5 September.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 9:11am
d