arena

Skuad wanita kekal kuasa hoki

Oleh Jugjet Singh

Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita kebangsaan terpaksa menunggu hingga minit ke-46 sebelum berjaya menjaringkan gol ketika bertemu Thailand sekali gus memenangi emas semalam.

Thailand yang menduduki ranking ke-31 dunia, bertahan dengan baik manakala Malaysia di kedudukan 22 dunia, melepaskan banyak peluang sebelum jaringan padang Hanis Nadiah Onn pada minit ke-46 mengembalikan semula rentak sebenar skuad negara.

Sebelum Thailand sempat mengatur gerak, penyokong Malaysia sekali lagi menggamatkan suasana apabila Nuraini Rashid menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-47.

Jurulatih Malaysia, K Dharmaraj muncul individu paling lega dengan keputusan yang dilakar anak buahnya itu.

“Beraksi di final, tidak kira final kejohanan apa sekalipun, memang sukar. Ia tidak pernah mudah dan skuad bukan pilihan biasanya bermain lebih baik berbanding lawan yang menduduki ranking lebih baik.

“Saya tahu kita perlu menjaringkan gol awal untuk membunuh semangat juang Thailand tetapi ia hanya hadir pada minit ke-46.

“Jaringan gol memang sangat diperlukan pemain saya untuk meningkatkan persembahan mereka,” kata Dharmaraj.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 10:56am
d