arena

Hamilton enggan dabik dada

Oleh Reuters

LONDON: Kejayaan Lewis Hamilton pada Grand Prix Belgium hujung minggu lalu bermakna pemandu Mercedes itu boleh merampas kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan Formula Satu dunia dengan satu lagi kemenangan di litar halaman sendiri Ferrari di Monza, Ahad ini.

Pemandu Britain itu bagaimanapun tidak mahu berasa lega.

Spa-Francorchamps, litar terpanjang dan satu daripada yang terpantas dalam sukan itu, tidak dimenangi dengan lancar oleh juara dunia tiga kali itu sekalipun jika dia menang selepas menyamai rekod 68 petak utama sepanjang karier.

Pendahulu kejuaraan dari Ferrari, Sebastian Vettel bersaing rapat dengan Hamilton sekalipun dia gagal memintas namun menanti sebarang kesilapan yang mungkin memberinya peluang dan Monza menghadirkan satu lagi peluang baik.

Menyusul selepas itu Singapura, litar bandar raya yang boleh memberikan kelebihan kepada Ferrari dan Vettel boleh sekali lagi mendahului pada musim yang dilihat terbuka saingannya hingga ke Abu Dhabi pada November depan.

Vettel ketika ini mendahului tujuh mata, perbezaan antara kemenangan dan tempat kedua, dengan Hamilton mendahului 5-4 menerusi kemenangan perlumbaan. Jika juara empat kali itu menang, dia akan unggul dengan 21 mata.

“Perlumbaan berikutnya kami perlukan sekurang-kurangnya tujuh mata itu,” kata Hamilton.

“Selepas itu kami akan berdepan beberapa perlumbaan yang benar-benar sukar dan saya tidak tahu sama ada kami boleh mampu meninggalkan Ferrari di belakang.

“Orang bercakap mengenai kereta kami yang terbaik, kami mempunyai kereta terpantas, tapi saya fikir ia amat sukar buat sesiapa untuk menyatakannya kerana ada pro dan kontra antara dua kereta dan faktor yang mana kami lebih pantas dan mereka lebih pantas. Ia juga kelihatan berubah dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan.”

Vettel bertindak konsisten dengan pemandu Jerman itu menamatkan sembilan perlumbaan di podium setakat ini manakala Hamilton hanya berada di kelompok tiga teratas dalam lima Grand Prix dengan rakan sepasukan memainkan peranan pembantu.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 11:00am
d