arena

Sejarah bakal tercipta

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur : Acara perseorangan wanita tidak diletakkan harapan meraih emas namun sejarah bakal tercipta buat dua wakil negara Soniia Cheah dan Goh Jin Wei apabila bertemu sesama sendiri pada perlawanan akhir bagi menamatkan penantian 14 tahun.

Kedua-duanya melepasi halangan separuh akhir apabila Soniia menumpaskan Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia), manakala Jin Wei mengetepikan Pornpawee Chochuwong (Thailand) untuk mengesahkan emas dan perak milik Malaysia.

Kali terakhir Malaysia meraih emas melalui Datin Wong Mew Choo di Ho Chi Minh, Vietnam pada 2003 apabila menumpaskan pemain Thailand Salakjit Ponsana.

“Sebenarnya saya tidak percaya ke final. Pada awalnya saya menjangkakan tidak bermain di temasya ini sebagai perseorangan pertama. Sekarang saya sudah mara ke final dan sangat gembira,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Soniia yang menewaskan Gregoria Mariska 22-20, 21-13, mengakui dia terpaksa bermain habis-habisan tanpa mengenal erti mengalah.

“Saya rasa mungkin kemenangan ini berpunca daripada kurang tekanan berbanding semalam (kelmarin). Mengenai final pula sudah tentu saya mahu jadi juara.

“Bagaimanapun, tidak kira siapa menang esok (hari ini) yang penting emas milik Malaysia,” katanya yang tidak pernah menumpaskan Jin Wei di peringkat domestik.

Jin Wei pula berkata, meneerima tentangan sukar Pornpawee di set pertama namun berjaya mencatat kemenangan.

“Set kedua dia mula bermain lebih pantas dan saya tidak mampu mengejarnya. Pada set ketiga saya fikir akan kalah namun memberikan segala-galanya dan rasa sangat bernasib baik,” katanya yang menang 21-9, 10-21, 21-18 ke atas pilihan ketiga itu.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 11:26am
d