arena

Ngauman Maria!

Oleh AFP

NEW YORK: Maria Sharapova menandakan penampilan sulungnya dalam acara Grand Slam sejak penggantungan doping berakhir dengan kemenangan 6-4, 4-6, 6-3 ke atas pilihan kedua Simona Halep pada Terbuka AS awal pagi tadi dan berkata, dia tidak pernah bercadang bersara daripada sukan itu.

Pemain berusia 30 tahun juara lima gelaran utama dan bekas pemain nombor satu dunia itu dikenakan penggantungan 15 bulan selepas gagal ujian dadah pada Terbuka Australia 2016.

Penggantungan itu berakhir April lalu namun dia terlepas kejohanan Terbuka Perancis dan Wimbledon tahun ini.

“Anda cuba dan memikirkan ia satu lagi hari berbeza, satu lagi peluang tapi ia sebenarnya lebih lagi daripada itu,” kata Maria, yang melutut dalam tangisan selepas meraih kemenangan bergaya, kemenangan ketujuhnya dalam tujuh pertemuan dengan Simona.

“Anda tidak pernah tahu bagaimana anda rasakan hingga ke mata penamat tapi akhirnya ia berbaloi.”

Maria, yang memerlukan jemputan wildcard untuk bertanding pada kejohanan yang dimenanginya pada 2006 selepas ranking dunianya merudum ke tangga 146, memberitahu pengkritiknya dia tidak berhasrat untuk bersara.

“Di belakang baju hitam ini dan kristal Swarovski, ada seorang gadis dengan keazaman tinggi dan dia tidak akan ke mana-mana.”

Ia merujuk kepada pakaian semua hitam yang dipakainya pada perlawanan itu.

Kristal itu jelas menarik bagi kamera TV pada perlawanan sesi malam di Stadium Arthur Ashe yang mana dia mencatat kemenangan 18-0 bermain di bawah lampu limpah.

“Ia masa kemuncak!” katanya sambil tersenyum.

“Kadang-kadang anda hairan kenapa anda perlu bekerja keras - inilah sebab sebenarnya.”

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 1:07pm
d