arena

Gelagat penyokong bikin 'panas'

Oleh Firdaus Hashim

RIUH dan gamat, suasana di luar dan dalam Stadium Shah Alam sebelum bermulanya perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA KL2017 antara Malaysia dan Thailand.

Enam jam sebelum perlawanan berlangsung pada jam 8.45 malam, penyokong kedua-dua pasukan sudah mula membanjiri perkarangan stadium.

Pelbagai gelagat dan gaya ditampilkan penyokong bagi menghangatkan suasana dan yang pastinya ia cukup unik, termasuk mengecat muka, memakai topi pelik dan pelbagai lagi gaya pakaian ditampilkan.

Arena Metro berjaya menemui abang kembar penyerang utama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee iaitu abang Safawi Rasid yang turut hadir bagi memberi sokongan kepada pasukan negara.

"Saya datang ke sini dari Dungun, Terengganu, semata-mata nak beri semangat kepada adik kami (Safawi) serta pasukan kita.

"Sebelum ke stadium, saya sempat berjumpa Safawi di hotel penginapan pasukan untuk memberi kata-kata semangat kepadanya.

“Mudahan-mudahan dia beraksi baik serta mengharumkan nama negara dan keluarga," kata abang kembarnya, Ahmad Muslim Rasid.

Tinjauan juga menemui seorang penyokong fanatik skuad Gajah Perang, Nittipas Kik yang sanggup berhabis duit sehingga 30,000 baht (RM3,200) untuk menempah pakaian khas bagi aksi final itu.

"Saya selalu ikut pasukan (Thailand) beraksi di mana saja, terutama di luar negara. Baju dan replika topi bola ini saya tempah khas untuk aksi final ini," katanya yang datang dari Bangkok semalam.

Sebaik pintu stadium di buka pada jam 4 petang, penyokong kedua-dua pasukan mula memasuki dan memenuhi segenap tempat duduk dengan bantuan kawalan polis.

Suasana dalam stadium makin meriah apabila kumpulan gendang tuan rumah dan pelawat mula memalukan paluan gendang masing-masing sambil menyanyikan lagu semangat sekali gus menghangatkan suasana.

Biarpun kumpulan penyokong tegar Malaysia, Ultras Malaya memboikot aksi final itu atas alasan tidak berpuas hati dengan sistem penjualan tiket, penyokong tempatan tetap bersemangat bersorak untuk skuad kebangsaan.

Menariknya, penyokong Malaysia dan Thailand bersama-sama melakukan ‘gelombang Mexico’ membuktikan semangat kesukanan di antara kedua-dua penyokong sangat tinggi.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 7:49pm
d