arena

Garuda Muda sambar gangsa

Oleh Aziman Rosdi

SKUAD bola sepak Indonesia tidak pulang dengan tangan kosong apabila menewaskan Myanmar 3-1 pada aksi penentuan tempat ke-3/4 bolasepak Sukan SEA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), hari ini.

Kejayaan skuad kendalian Luis Milla Aspas itu sedikit sebanyak menebus kekecewaan terkandas di separuh akhir Sabtu lalu apabila tewas 0-1 kepada Malaysia.

Bagaimanapun ia bukan kejayaan mudah buat Indonesia yang terpaksa bangkit selepas ketinggalan satu gol menerusi jaringan penyerang Myanmar Than Paing m-21.

Jaringan itu tidak melemahkan semangat skuad Garuda Muda yang bangkit mendahului menerusi jaringan pemain tengah Evan Dimas Darmono dan penyerang Septian David Maulana m-56 dan 58.

Myanmar naib juara dua tahun lalu di Singapura terus gagal mengekang asakan lawan apabila gawang yang dikawal Sann Sat Naing bocor melalui percubaan Muhd Rezaldi Hehanusa m-76.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 7:54pm
d