arena

Ong Yew-Teo Ee sekadar perak

Oleh Ferzalfie Fauzi

HARAPAN yang diletakkan kepada beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mencapai sasaran dua emas disasarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada beregu Thailand, hari ini.

Yew Sin-Ee Yi jelas berada dalam keadaan tertekan selepas beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal meraih emas.

“Memang kita mahu membantu negara meraih emas kedua,” kata Ee Yi selepas tumpas kepada pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 19-21, 22-20, 17-21.

BAM mensasarkan dua pingat emas di Sukan SEA KL2017 melalui beregu campuran dan beregu wanita, namun kedua-duanya tidak menepati jangkaan sebaliknya emas tunggal badminton disumbangkan Goh Jin Wei dalam aksi perseorangan wanita selepas mengalahkan rakan senegara, Soniia Cheah 21-11, 21-10.

Ee Yi mengakui tekanan memuncak kepada mereka berdua ketika aksi set penentuan hinggakan tangannya menjadi keras dan permainan kurang menjadi.

“Pasangan lawan pun sudah tahu bagaimana bermain dengan kita, namun kerana terlalu inginkan emas kedua, ia memberikan tekanan,” kata pemain kelahiran Johor itu.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon yang tidak berjaya mengakhiri kemarau 18 tahun negara meraih emas dalam acara beregu campuran mengakui keletihan sehingga menyebabkan mereka tumpas kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 15-21, 20-22.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 8:45pm
d