arena

Pickford tinggalkan skuad England

Oleh AFP

BURTON-ON-TRENT, England: Penjaga gol Everton, Jordan Pickford menarik diri daripada skuad England bagi kelayakan Piala Dunia menentang Malta dan Slovakia kerana kecederaan, umum Persatuan Bolasepak (FA) England semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang menyertai Everton dengan harga £30 juta (RM165 juta) dari Sunderland, kembali ke kelabnya bagi menjalani rawatan kerana kecederaan otot.

Pengurus England, Gareth Southgate mempunyai tiga penjaga gol lain - Joe Hart, Jack Butland dan Tom Heaton - jadi beliau tidak perlu mencari penggantinya.

“Penjaga gol Jordan Pickford sudah meninggalkan kem England dan kembali ke Everton,” menurut FA dalam satu kenyataan.

“Selepas melapor diri di St George’s Park (pangkalan latihan England) petang Ahad lalu, pemain berusia 23 tahun itu menjalani pemeriksaan kerana kecederaan otot dialaminya ketika bermain untuk kelabnya.

“Berikutan perbincangan antara pasukan perubatan England dan Everton, diputuskan pemain itu kembali ke Finch Farm (pusat latihan Everton) bagi mendapatkan rawatan lanjut.”

Sementara itu Nathaniel Chalobah, Kieran Trippier, Jake Livermore dan Phil Jones terlepas sesi latihan England semalam kerana kecederaan kecil.

Pemain tengah Watford, Chalobah, pertahanan Tottenham, Trippier, pemain tengah West Brom, Livermore dan pertahanan Manchester United, Jones semuanya diketepikan bagi sesi di St George’s Park sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun kuartet itu dijangka cergas bagi aksi kelayakan England.

England, yang mendahului kumpulan mereka pada kelayakan Piala Dunia, bertemu Malta di Ta’Qali awal pagi Sabtu ini sebelum melayan kunjungan Slovakia di Wembley awal minggu depan.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 9:04am
d