arena

Skuasy berpasukan wanita kekal emas tumpaskan Singapura

Oleh Devinder Singh

Kuala Lumpur: Skuad Malaysian yang dibarisi pemain remaja berjaya mengekalkan emas acara skuasy berpasukan wanita selepas mengalahkan Singapura 2-1 di Bukit Jalil, semalam.

Andrea Lee dan Aifa Azman memenangi dua perlawanan terakhir selepas Ooi Kah Yan tewas pada perlawanan pembukaan sekali gus membolehkan emas keenam Malaysia menerusi skuasy terhasil di Pusat Skuasy Kebangsaan.

Enam emas yang dimenangi itu tidak menepati tujuh emas yang menjadi sasaran Persatuan Raket Skuasy Malaysia gara-gara kekalahan skuad lelaki di tangan Filipina di separuh akhir.

Kah Yan, 16, diturunkan sebagai pemain pertama dan berjaya mengheret perlawanan ke set kelima sebelum tumbang 12-10, 4-11, 11-4, 7-11, 11-9 di tangan pemain Singapura, Pamela Chua.

Andrea yang memenangi emas beregu wanita dan perak dalam acara beregu campuran, menyamakan kedudukan 1-1 selepas menang 11-8, 11-6, 11-6 ke atas Mao Shihui.

Pada perlawanan penentuan, Aifa berjaya mengatasi Sneha Sivakuma 11-6, 11-4, 11-6 bagi memastikan emas menjadi milik Malaysia.

Selaku pemain paling senior dalam pasukan, Andrea, 18, gembira apabila membantu Malaysia mengekalkan emas yang dimenangi di Singapura, dua tahun lalu.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 10:31am
d