arena

Tiada yang gagal, semua tepati sasaran

Oleh Azlan Muhammad Zain dan Syafiq Aznan

SEBANYAK 36 emas dianggap bonus kepada kontinjen negara apabila atlet negara berjaya melakar kejutan bagi membantu Malaysia mempamerkan dominasi pada edisi ke-29 Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, ia mewakili 18 jenis sukan yang membolehkan Malaysia mengumpul 145 emas secara keseluruhan.

“Bagaimanapun terdapat 16 pingat emas yang disasarkan tidak tercapai,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Antara sukan yang gagal menepati sasaran adalah badminton (sasaran 2 emas, capai 1), kriket (2 emas, capai 1 emas), snuker dan billiards (sasaran 1 emas, tiada emas), skuasy ( sasaran 7 emas, capai 6 emas).

Bagaimanapun Ahmad Shapawi berkata, tiada satu sukan yang dianggap gagal kerana mereka mempamerkan prestasi cemerlang dengan menepati sasaran dan memuaskan.

“Seramai 396 atlet muda (bawah 21 tahun) menyumbang 95 emas, 94 perak dan 96 gangsa (kiraan secara individu merangkumi acara berpasukan),” katanya.

Malaysia sah menamatkan saingan di Sukan SEA ke-29 dengan 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa bagi muncul juara keseluruhan.

Ia adalah 35.8 peratus daripada 404 emas yang ditawarkan manakala 22.7 peratus perak, 16.3 peratus gangsa.

Ahmad Shapawi berkata, ia pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan di temasya dwitahunan itu.

Pada Sukan SEA kali ini, seramai 844 atlet negara menyertai 398 dari 404 acara yang dipertandingkan membabitkan 38 jenis sukan.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 7:36pm
d