arena

Sunyi tanpamu Ultras Malaya

Oleh Firdaus Hashim

HILANG laungan ‘Ale Ale Harimau Malaya’ diganti dengan sorakan ‘We Are Thailand’ sepanjang aksi final bola sepak Sukan SEA sedikit sebanyak mempengaruhi semangat pemain Malaysia yang akhirnya kecundang 0-1 kepada Thailand.

Nyata ketiadaan Ultras Malaya pada aksi kemuncak itu amat dirasai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, biarpun puluhan ribuan penyokong membanjiri stadium namun ia dilihat masih kurang memberi impak kepada pemain.

Jurulatih negara, Kim Swee mengakui ketiadaan kumpulan penyokong tegar itu di stadium jelas memberi kesan besar kepada moral pemain.

“Sebelum ini Ultras Malaya datang ke setiap perlawanan Malaysia di Sukan SEA. Saya tak tahu apa yang berlaku (ketiadaan Ultras Malaya), tapi kami terasa juga ketiadaan (sokongan) mereka.

“Tapi masih ada penyokong yang datang, saya ucapkan terima kasih. Saya harap apa yang berlaku ini, semua pihak fikirkan masa depan pasukan untuk memberi sokongan, tidak kira Ultras Malaya ataupun penyokong,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Nada sama turut diluahkan beberapa pemain kebangsaan termasuk penjaring gol terbanyak pasukan, N Thanabalan yang mengharapkan Ultras Malaya kembali memberi sokongan.

“Stadium memang sunyi tak dapat sokongan Ultras Malaya. Harap kalau kita ada main di tempat sendiri lagi, mereka datang dan beri semangat kepada pasukan kerana ianya penting,” katanya.

Aksi final yang sepatutnya disajikan dengan sorakan Ultras Malaya bagaimanapun dikejutkan dengan pengumuman untuk memulaukan acara kemuncak berkenaan.

Menurut kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook UM’07, keputusan itu dibuat sebagai solidariti kepada penyokong atau pemain ke-12 yang menjadi mangsa kegagalan sistem penjualan tiket aksi final itu.

Ketiadaan mereka menyaksikan 80,000 penyokong tempatan hilang arah dalam memberi sorakan yang lazimnya dibaja dengan sorakan tanpa henti daripada Ultras Malaya.

Sebaliknya, kita hanya mampu mencuri bunyian gendang daripada Ultras Thailand untuk menumpang jeritan ‘Malaysia’.

“Tak boleh nak cakap apa. Ketiadaan Ultras Malaya serba sedikit jejaskan jugalah prestasi kita orang,” kata penjaga gol negara, Haziq Nadzli yang menjaringkan gol sendiri sehingga menghadiahkan kemenangan kepada skuad Gajah Perang itu.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 9:49pm
d