arena

Kekal momentum di Para ASEAN

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

Kuala Lumpur: Kejayaan negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA diharap dapat diteruskan pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 yang bakal buka tirai, 17 September ini.

Walaupun pentas berbeza, kejayaan Sukan SEA harus jadi suntikan semangat buat atlet paralimpik sekali gus melengkapkan tahun gemilang buat sukan negara.

Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrussahar Yusof berkata atlet paralimpik negara akan dikumpulkan dalam kem terakhir Ahad ini.

“Kejayaan hebat atlet normal negara pada Sukan SEA sesuatu yang menggembirakan. Jadi sudah pasti saya juga mahu lihat kejayaan sama dapat dilakukan di Sukan Para ASEAN.

“Kita letak sasaran 103 pingat emas. Untuk atlet yang akan bertanding nanti, jadikan kejayaan Sukan SEA sebagai suntikan motivasi untuk cuba beri aksi terbaik buat negara di depan penyokong sendiri,” katanya semalam.

Olahraga sudah pasti menjadi sandaran utama buat kontinjen paralimpik negara untuk menghadirkan kejayaan terutama dengan kehadiran tiga pemenang emas Sukan Paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli (gambar) menerusi acara lontar peluru F20, Mohamad Ridzuan Puzi (100 meter T36), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan pemenang gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20).

Selain itu, antara sukan yang berpotensi menghadirkan kejayaan buat negara adalah bowling, basikal trek, badminton dan renang.

Dalam masa sama, Mohd Safrussahar mengharapkan sokongan sama dapat diberikan peminat sukan negara seperti ditunjukkan pada penganjuran Sukan SEA.

“Atlet paralimpik juga mengharapkan sokongan peminat. Sama-sama kita beri sokongan kerana semua venue tidak dikenakan tiket,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 11:33am
d