arena

Sanjung jasa atlet

Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Shapawi Ahmad menyifatkan perbarisan Hari Kebangsaan 2017 yang turut menampilkan kontinjen Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur 2017 sebagai penghargaan buat atlet.

Lebih manis Malaysia selaku tuan rumah diangkat juara keseluruhan temasya dwitahunan dengan mengutip 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa, sekali gus mengatasi Thailand di tempat kedua manakala Vietnam ketiga.

Shapawi berkata perbarisan terbabit disertai lebih 400 atlet dan pegawai bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara yang berlangsung secara gilang-gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Penyertaan ketika Hari Kebangsaan 2017 adalah penghargaan buat kontinjen Malaysia, khususnya selepas dibalas dengan kehadiran lebih 400 atlet dan pegawai.

“Walaupun penat selepas bertanding, mereka semua terpanggil untuk meraikan Hari Kebangsaan negara bersama rakyat Malaysia.

“Penghormatan ini diberikan sebagai penghargaan terhadap sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia dan kerajaan khasnya sepanjang Sukan SEA berlangsung,” katanya di sini, semalam.

Shapawi dalam masa sama turut memaklumkan yang Malaysia sudah bersedia untuk penganjuran Sukan Para ASEAN yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 23 September ini.

Dia berharap rakyat Malaysia dapat hadir memberikan sokongan dalam setiap pertandingan kerana itu antara elemen penting untuk merangsang prestasi atlet yang mengambil bahagian.

Semalam, tanggal 31 Ogos menyaksikan Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan dan Dataran Merdeka bergema dengan laungan Merdeka tujuh kali daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - sama seperti perisytiharan Hari Kemerdekaan di lokasi sama 60 tahun lalu.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 11:37am
d