arena

Perenang diberi rehat seminggu

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Selepas menyapu bersih 13 emas dipertandingkan di temasya kesemua atlet negara diberi cuti seminggu oleh ketua jurulatih Yang Zhuling (gambar) sebelum kembali menjalani latihan.

Katanya, misi skuad negara masih belum selesai dan mereka perlu berdepan dengan tiga kejohanan penting selepas ini - Grand Prix Kuala Lumpur, Singapura dan Gold Coast.

Paling penting Grand Prix Gold Coast yang menjadi gelanggang Sukan Komanwel.

“Misi skuad terjun masih sama iaitu meraih emas dalam semua pertandingan disertai. Mereka perlu terus berlatih selepas ini.

“Temasya Komanwel sudah tidak lama lagi dan kesemua penerjun perlu kekal fokus,” katanya yang mengakui betapa atlet terjun negara tiada tandingannya di peringkat Asia Tenggara.

Bagaimanapun Zhuliang berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, beberapa penerjun dari negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia mempamerkan peningkatan.

Malah tidak hairan jika dua tahun lagi, mereka mampu memberi saingan sengit kepada penerjun negara.

Ditanya sama ada skuad terjun negara akan berkampung di Pusat Akuatik Nasional atau kembali ke China, Zhuliang berkata, perkara itu akan dibincangkan.

Tegasnya, latihan di China masih diperlukan kerana negara Tembok Besar itu memberi suasana berbeza dengan atlet mampu mempertingkatkan tahap kesukaran terjunan.

Tambahnya, China menawarkan latihan lebih profesional yang mampu memberi kelebihan buat atlet negara.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 11:40am
d