arena

Sasar emas Komanwel

Oleh Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Selepas puas menakluk Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017), misi ratu gimrama negara Koi Sie Yan kini beralih kepada mengintai pingat emas Sukan Komanwel 2018 Gold Coast Australia, tahun depan.

Sie Yan, 18, menyerlah selepas meraih empat emas di temasya dwitahunan menerusi penguasaan acara individu keseluruhan, aparatus gelung, belantan dan berpasukan wanita.

Walaupun masih berbaki setahun sebelum Sukan Komanwel bermula Gold Coast, Sie Yan berkata dia akan terus bekerja keras dalam usaha merealisasikan impian memenangi emas di temasya itu selepas kali terakhir dimenangi Elaine Koon pada edisi 2010.

“Tapi saya perlu meningkatkan prestasi kerana Kanada mempunyai gimnas berwibawa yang mampu menghalang impian saya,” katanya yang tidak pernah beraksi di Sukan Komanwel.

Sie Yan yang menjadi antara penerima imbuhan tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan RM50,000, berkata skuad gimrama negara selepas ini mungkin kembali menyambung latihan di luar negara dengan Russia atau Uzbekistan menjadi destinasi.

“Kami hanya diberi cuti seminggu dan akan kembali menjalani latihan di Bukit Jalil bersama jurulatih dari Russia Lidia Legotina sebelum menyambung latihan di luar negara,” katanya.

Ditanya sama ada status ratu gimrama negara memberi tekanan, Sie Yang yang berasal dari Kuantan, Pahang mengakui buat masa ini dia belum merasainya.

“Setakat ini saya rasa seperti biasa, tapi sekiranya ada saya hanya akan beraksi seperti biasa tanpa tekanan kerana apa yang penting terus memberikan aksi terbaik,” katanya.

Sebagai rekod, Sukan Komanwel 2014 Glasgow menyaksikan skuad gimrama negara sekadar menyambar dua gangsa menerusi acara berpasukan dan individu gelung menerusi Wong Poh San.

Elaine Koon kekal dengan status memiliki rekod terbaik di temasya itu apabila memenangi satu emas dan dua gangsa pada edisi New Delhi 2010, diikuti Durratun Nashihin Rosli empat perak di Melbourne 2006.

Disiarkan pada: September 2, 2017 @ 4:31am
d