arena

Mercedes mahu sambung kontrak Bottas

Oleh AFP

Monza, Itali: Valtteri Bottas (gambar) mendahului senarai catatan terpantas ketika sesi latihan menjelang Grand Prix Itali minggu ini dan menerima khabar gembira apabila khidmatnya masih diperlukan Mercedes untuk mengharungi musim depan.

Pelumba Finland itu yang mengatasi catatan rakan sepasukan, Lewis Hamilton, bangkit daripada masalah prestasi tidak menentu seperti yang berlaku kepadanya di Grand Prix Belgium minggu lalu.

“Memang bagus apabila kita dapat menjalankan semua yang dirancang,” katanya menerusi radio pasukan yang turut didengari kapten, Toto Wolff. “Mujur juga hari tidak hujan.”

Pada sesi sidang media selepas itu, Wolff berkata, adalah satu kesilapan bagi pasukannya jika tidak mengekalkan Bottas musim depan. Pemandu itu dilantik sejurus sebelum bermulanya musim 2017 bagi menggantikan juara dunia 2016, Nico Rosberg.

“Adalah tidak masuk akal jika kami tidak terus menggunakan khidmat Valtteri,” kata Wolff. “Kami gembira dengan prestasinya. Dia mengharungi musim ini dengan baik.

“Kami mahu mengekalkannya di dalam pasukan. Kini ia hanya mengenai soal kontrak. Kami akan memberikan kontrak baru kepadanya dan berharap dia akan segera menandatanganinya.”

Wolff menambah, apa yang lebih penting ialah mengekalkan keharmonian yang ada di dalam pasukan terutama membabitkan gandingan Bottas, 28, dengan juara dunia tiga kali, Hamilton, 32.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 2:17am
d