arena

Mengaku kalah

Oleh Agensi

Madrid: Barcelona akhirnya ‘mengangkat bendera putih’ dan tidak lagi berharap untuk mendapatkan Philippe Coutinho.

Walaupun Liverpool menolak tiga bidaan awal, Barca dilaporkan mengemukakan bidaan keempat ke atas Coutinho sejurus sebelum jendela perpindahan pemain ditutup tetapi kelab gergasi Sepanyol itu sekali lagi menerima jawapan sama - pemain Brazil itu bukan untuk dijual.

Coutinho sendiri mahu ke Camp Nou dan sudah membuat permohonan rasmi untuk berpindah awal bulan lalu tetapi pendirian Liverpool tetap kekal.

Pada 10 Ogos, pemilih Liverpool, Kumpulan Sukan Fenway berkata mereka tidak akan melayan sebarang permintaan mendapatkan Coutinho ketika Barca mula memberi perhatian kepada pemain itu berikutan perpindahan Neymar ke PSG.

Kelab Catalan itu amat mengharapkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu dan sudah beberapa kali memberitahu media tempatan bahawa usaha untuk membawa masuk Coutinho tetap cerah.

Ketika ditanya mengenai yuran perpindahan Coutinho, pengarah sukan Robert Fernandez mendakwa rundingan sedang dijalankan dan beliau berharap semuanya dapat dilengkapkan sebelum tarikh akhir jendela perpindahan pemain.

Begitupun, Liverpool tidak beranjak daripada keputusan awal di mana mereka tidak akan sesekali menjual pemain berkenaan.

Barca dijangka kembali membuat bidaan Januari nanti atau musim panas depan tetapi buat masa ini, persoalan yang timbul ialah bagaimana Coutinho mahu meneruskan aksinya di Anfield walaupun dia masih mempunyai kontrak hingga 2022.

Coutinho sedang bersama skuad kebangsaan Brazil untuk aksi kelayakan Piala Dunia dan dia menjaringkan salah satu gol ketika pasukannya mengalahkan Ecuador 2-0.

Rakan sepasukannya, Neymar mendedahkan Coutinho dilihat sedih kerana kegagalannya untuk berpindah ke Barca.

“Malangnya, di saat dia sepatutnya gembira, dia tidak dapat berbuat demikian sebaliknya wajahnya kelihatan sangat sugul,” kata Neymar.

Barca turut dikaitkan dengan Angel Di Maria tetapi selepas jendela perpindahan ditutup, tidak ada pemain baru yang dibawa masuk.

Setakat ini, mereka hanya berjaya membeli Marlon Santos, Gerard Deulofeu, Nelson Semedo, Paulinho dan Ousmane Dembele.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 2:32am
d