arena

Kenangan terindah

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Biarpun gagal menghadiahkan sebarang pingat buat negara dalam sukan heptathlon, Norliyana Kamaruddin (gambar) tetap mengukir sejarah tersendiri.

Atlet berusia 26 tahun itu berjaya memecahkan rekod berusia 36 tahun milik Datuk Zaiton Othman dan sekurang-kurangnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) memberi pengalaman dan kenangan terindah buat Norliyana.

Malah, dia sendiri tidak menyangka mampu memecahkan rekod kebangsaan dalam acara itu selepas menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Biarpun tidak diletakkan sebarang harapan, Norliyana tetap memberi yang terbaik dan paling menyerlah dalam acara lompat tinggi apabila muncul juara dalam acara itu.

Justeru, buat atlet berusia 26 tahun itu, dia tidak akan mengalah dan terus berusaha kembali memartabatkan sukan heptathlon di negara ini.

“Saya bermula dengan lompat tinggi. Kemudian jurulatih meminta saya menukar acara ke heptatlon dan saya mula serius dalam sukan ini empat tahun lalu.

“Saya tidak pernah menyesal atau berputus asa dalam sukan ini dan berharap mampu mengorak langkah lebih jauh lagi mungkin hingga ke Komanwel atau ke Sukan Asia,” katanya.

Acara heptathlon menyaksikan atlet Thailand, Sunisa Khotseemueans meraih emas selepas mengumpul 5,430 mata diikuti Emilia Nova dari Indonesia 5,386 mata dan penyandang juara Wassana Winatho dari Thailand ketiga 5,288 mata dan Norliyana keempat 5,247 mata.

Ditanya apakah kelemahan yang perlu diperbaiki, Norliyana berkata antaranya adalah dalam acara lari yang membabitkan kelajuan.

Kali terakhir negara meraih emas dalam sukan itu adalah pada Sukan SEA Manila, Filipina 1981 menerusi Zaiton yang berjaya mencipta rekod kebangsaan dengan 5,175 mata.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 2:38am
d