arena

Bukan mustahil

Oleh Fabian Peter

Kuala Lumpur: Peluang Malaysia untuk memenangi Piala Thomas tahun depan dilihat agak suram jika berdasarkan kepada prestasi pemain di Kejohanan Dunia di Glasgow serta temasya Sukan SEA bulan lalu.

Semalam, pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost mengaku bahawa bukan mudah buat negara untuk mencapai sasaran itu walaupun ia bakal menjadi Indeks Pencapaian Utama (KPI) 2018 seperti yang termaktub di dalam perancangan empat tahun badan induk kebangsaan itu.

Frost bagaimanapun percaya bukan sesuatu yang mustahil buat skuad berpasukan lelaki untuk menamatkan penantian 26 tahun Malaysia pada Piala Thomas sejak kali terakhir memenanginya pada 1992.

“Saya perlu akui bahawa aksi di Kejohanan Dunia dan Sukan SEA tidak menjadi buat pemain kita terutamanya lelaki.

“Peluang untuk memenangi Piala Thomas pastinya terjejas tetapi bukan mustahil,” katanya.

Di Kejohanan Dunia, bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dikejutkan apabila tewas di pusingan pertama manakala beregu lelaki yang dibarisi Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Chooi Kah Ming-Low Juan Shen gagal melepasi pusingan kedua.

Beregu campuran yang dianggotai Tan Kian Meng-Lai Pei Jing muncul wakil negara yang layak ke pusingan ketiga sebelum tewas sekali gus menamatkan cabaran Malaysia di kejohanan berkenaan.

Di temasya Sukan SEA, skuad lelaki menamatkan aksi dengan pingat perak selepas tewas 0-3 di tangan Indonesia. Dalam aksi individu, hanya gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi layak ke dinal selain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, Soniia Cheah dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

“Buat masa ini, untuk bercakap mengenai peluang memenangi Piala Thomas memang sukar tetapi kami sudah mengambil langkah tertentu. Justeru, mari kita tunggu dan lihat. Secara peribadi, saya masih yakin,” kata Frost.

“Kita sudah membawa masuk Misbun (Sidek) sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki dan Chong Wei turut mengumumkan bahawa dia akan terus bermain.

“Kita juga perlukan pemain seperti Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) dan Lee Zii Jia berada di dalam ranking dunia. Untuk itu, kita akan menghantar mereka beraksi di lebih banyak kejohanan. Iskandar bergelut dengan kecederaan belakang manakala Zii Jia baru saja disenaraikan ke dalam skuad senior. Mereka perlukan sedikit masa.

“Untuk acara beregu lelaki, kami perlukan sekurang-kurangnya dua beregu yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia jika kita berhasrat memenangi Piala Thomas tahun depan.”

Difahamkan, gara-gara prestasi yang tidak menentu, beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sudah menarik diri daripada menyertai Terbuka Vietnam minggu depan.

Saingan Piala Thomas dan Uber akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei tahun depan.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 2:45am
d