arena

Perlu tumpu acara individu

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mengakui tumpuan perlu diberikan kepada acara individu selepas atlet negara gagal meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara itu pada temasya Sukan SEA baru-baru ini.

Pemanah lelaki dan wanita mempamerkan dominasi dalam acara berpasukan dengan meraih lima emas dalam saingan di padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada pertengahan bulan lalu namun tidak mampu melakukannya dalam acara individu.

Taruhan terbaik negara menerusi Khairul Anuar Mohamad (recurve) dan Mohd Juwaidi Mazuki (compound) tidak kesampaian apabila kedua-duanya kecundang di final manakala pemenang emas individu Sukan SEA 2015 Fatin Nurfatehah Mat Salleh akur dengan gangsa kali ini.

Hakikat itu diakui Setiausaha Kehormat NAAM Datuk Abdul Hamid Hasan yang menyedari perlu ada keseimbangan antara kategori individu dan berpasukan.

“Mungkin mereka terlalu tertekan beraksi di laman sendiri menyebabkan situasi tidak seimbang ini. Sebaliknya mereka berjaya raih emas apabila beraksi dalam acara berpasukan.

“Sejujurnya kita tidak mahu dilabel hanya jaguh dalam acara berpasukan, kita juga mahukan kemenangan dalam acara individu. Perkara ini akan diperhalusi,” jelasnya.

NAAM berjaya mengatasi sasaran empat emas apabila meraih lima emas menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita bagi recurve serta compound selain sumbangan acara berpasukan campuran compound.

Malaysia muncul juara dalam acara memanah apabila meraih lima emas, tiga perak dan dua gangsa, mengatasi cabaran enam negara lain.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 11:41am
d