arena

Nadal, Federer terus menghantui

New York: Rafael Nadal (gambar) dan Roger Federer semakin menghampiri pertemuan separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat semalam apabila pemain kontroversi dari Itali, Fabio Fognini disingkirkan kerana menghina seorang pengadil wanita.

Nadal, 31, menewaskan pemain Argentina Leonardo Mayer 6-7 (3/7), 6-3, 6-1, 6-4, memperbaiki rekod kemenangan ke atas pemain ke-59 dunia dari Buenos Aires kepada 4-0.

Dia berdepan pemain Ukraine Alexandr Dolgopolov, yang mana dia memegang rekod kemenangan 6-2, untuk tiket ke suku akhir.

Juara lima kali Federer mengetepikan pilihan ke-31 Feliciano Lopez 6-3, 6-3, 7-5 untuk melebarkan rekod kemenangan ke atas pemain Sepanyol yang beraksi dalam Grand Slam ke-63 berturut-turut kepada 13-0.

Federer seterusnya akan berdepan Philipp Kohlschreiber, dengan rekod kemenangan memihak kepadanya 11-0.

Nadal kalah set pertama perlawanan pusingan kedua menentang pemain Jepun, Taro Daniel sebelum menang dalam empat set.

Perlawanan semalam bagaikan ulangan sebelumnya apabila juara kejohanan utama 15 kali itu gagal memanfaatkan mana-mana enam mata dalam set pembukaan.

Namun perlawanan itu bertukar rentak pada game ketujuh set kedua apabila Nadal berjaya bangkit menerusi break point ke-14 perlawanan itu.

“Ia memang sukar. Saya berdepan 14 break point dan ia bukan angka yang bagus tapi saya mempunyai persiapan mental dan berjuang pada ketika yang betul,” kata Nadal.

Federer bagaimanapun memerlukan kemenangan lima set berturut-turut untuk menundukkan Frances Tiafoe dan Mikhail Youzhny dalam dua pusingan awalnya.

Bagaimanapun semalam dia berjaya menewaskan Lopez untuk mara ke pusingan keempat buat kali ke-16.

“Saya gembira dapat meloloskan diri. Seronok dapat bermain di luar sana,” kata Federer.

“Saya bergelut dalam dua pusingan pertama tapi malam ini saya bermain dengan sempurna.”

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 11:48am
d