arena

Hafizh mahu 'angkat kaki'

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Ya, saya akan berpindah ke pasukan lain tahun depan.”

Itu pengakuan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang mengesahkan akan berhijrah ke pasukan lain musim depan dalam kategori sama selepas empat musim penuh beraksi bersama PETRONAS Raceline Malaysia, sekali gus menamatkan khabar angin mengenai hala tujunya selepas ini.

Hafizh mendedahkan ada beberapa sebab mengapa dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain dengan punca utamanya adalah masalah dalaman.

“Saya tidak mahu mendedahkan apa yang berlaku dan tidak mahu mengaibkan sesiapa. Cukuplah sekadar saya menyatakan berdepan masalah dalaman.

“Itu antara sebab prestasi saya musim ini agak menurun berbanding musim lalu, bukannya masalah jentera.

“Saya cuba untuk tidak masuk campur dalam soal pengurusan pasukan, tapi selepas melihat tiada jalan penyelesaian, maka saya perlu ambil keputusan terbaik demi kebaikan diri sendiri,” katanya yang kini mengakui lebih selesa bekerja dengan Razmin Masli Abdul Razak selaku koordinator pasukan berbanding prinsipal pasukan Barry Leong.

Hafizh bagaimanapun menegaskan, dia tidak berdepan sebarang masalah dengan PETRONAS, penaja utama yang membina kariernya sejak sekian lama hingga bergelar pelumba terbaik negara.

Atas faktor itu, Hafizh berharap PETRONAS akan terus menjadi penajanya musim depan bersama pasukan baru.

“Walaupun saya tidak akan bersama pasukan ini musim depan, tapi saya amat berharap PETRONAS akan tetap menjadi penaja saya.

“Syarikat ini membantu membina karier saya. Jadi saya fikir saya juga bertanggungjawab untuk memberikan sesuatu dengan terus membawa jenama PETRONAS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Penunggang berusia 23 tahun itu bagaimanapun enggan mendedahkan pasukan yang akan diwakilinya musim depan.

“Apa yang boleh saya katakan ketika ini memang saya sudah ada pasukan untuk musim depan dan terus beraksi dalam kategori Moto2.

“Selebihnya mengenai pasukan itu saya tidak boleh dedahkan. Mungkin akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

“Matlamat utama saya ketika ini adalah mahu meraih keputusan terbaik dalam baki enam perlumbaan selepas ini,” katanya.

Selepas 12 pusingan, Hafizh menduduki tangga ke-13 kedudukan pelumba Moto2 dengan meraih 50 mata.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 4:47am
d