arena

Frost janji selesai kemelut V Shem-Wee Kiong minggu ini

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: “Apapun yang berlaku, ia perlu diselesaikan minggu ini.”

Tegas Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen bahawa pihaknya akan mencari jalan penyelesaian kedudukan beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong minggu ini.

Beregu yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio tahun lalu kini berdepan situasi sukar apabila terus mempamerkan prestasi hambar termasuk tersingkir seawal pusingan kedua kepada beregu bukan pilihan dari Korea Selatan, Chung Eui Seok-Kim Duk Young pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland bulan lalu.

Justeru, BAM mencari jalan penyelesaian sama ada mahu mengekalkan atau memisahkan gandingan mereka.

“Mereka melalui musim yang baik tahun lalu apabila turut muncul juara di Dubai (Siri Super Akhir Dunia). Ketika itu setiap orang gembira dengan kejayaan mereka.

“Tapi tiba-tiba mereka seolah-olah hilang keyakinan dan saya juga berasakan begitu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Negara (ABM) semalam.

Frost menafikan hubungan yang tidak rapat di luar gelanggang antara V Shem-Wee Kiong menjadi punca kepada kegagalan mereka untuk beraksi dengan baik.

“Bagi saya itu bukan isu utama. Kami perlu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mereka,” ujarnya.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini memberi bayangan akan memisahkan gandingan itu selepas terus mempamer aksi hambar sepanjang tahun ini.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 7:21am
d