arena

Vasilyev hairan perpindahan Mbappe

Oleh AFP

MOSCOW: Naib presiden AS Monaco, Vadim Vasilyev mempersoalkan perpindahan secara pinjaman Kylain Mbappe ke Paris Saint-Germain dalam apa yang dianggapnya “kejayaan paling besar dalam dunia bola sepak.”

Penyerang berusia 18 tahun itu berpindah ke PSG Khamis lalu secara pinjaman semusim dengan disertakan klausa tebus kontrak 180 juta euro (RM914 juta), menjadikannya pemain kedua termahal sepanjang zaman di belakang rakan sepasukan baru Neymar.

“Kami (Monaco) tidak faham sama sekali sama ada perjanjian ini boleh berlaku kerana UEFA sudah mempersoalkan PSG mengenai pematuhan peraturan kewangan,” kata Vasilyev.

“Ia satu perjanjian yang amat sulit,” katanya. “Awalnya, kami tidak mahu pemain ini memperkukuhkan pasukan lawan kami.

“Tapi saya fikir perjanjian ini jelas menjadi satu daripada yang paling berjaya dalam dunia bola sepak.”

PSG mendapatkan khidmat Mbappe kurang sebulan selepas mengikat bintang Brazil, Neymar dari Barcelona dengan perjanjian memecah rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion).

Minggu lalu badan induk bola sepak Eropah, UEFA memulakan “siasatan rasmi” terhadap urusan PSG ketika jendela perpindahan pemain.

UEFA menyatakan mereka akan mengkaji sama ada PSG melanggar peraturan kewangan “berikutan aktiviti perpindahan terbaru.”

Presiden UEFA, Alexsander Ceferin menegaskan kelmarin “Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.”

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 12:37pm
d