arena

Li Jane, Siti Safiyah mara pusingan kedua

Oleh Ajitpal Singh

SIN Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman layak ke pusingan kedua kejohanan penamat musim Kejohanan Jelajah Persatuan Pemain Bowling Wanita Profesional (PWBA) di Richmond International Raceway di Virginia, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Li Jane, pilihan ke-14, mengejutkan pilihan ketujuh Rocio Restrepo dari Colombia 223-191, 227-214, 265-230 pada perlawanan dengan format match play lima set terbaik.

Pemain berasal dari Perak itu bertemu juara Amerika Syarikat, Shannon O’Keefe pada pusingan kedua.

Siti Safiyah, pilihan ke-13, turut memperagakan persembahan mengagumkan untuk menyingkirkan pilihan kelapan Clara Guerrero dari Colombia 255-197, 247-277, 221-195, 214-234, 241-215.

“Ia perlawanan sukar. Kami banyak menjatuhkan strike dalam perlawanan ini,” kata Siti Safiyah hari ini.

“Tapi saya berjaya mengatasi perasaan gemuruh untuk layak ke peringkat seterusnya. Lorong agak berbeza dan mencabar.”

Pemain Malaysia berusia 27 tahun iu berdepan pemain AS, Shannon Pluhowsky pada pusingan kedua.

Li Jane dan Siti Safiyah layak menyertai kejohanan itu selepas masing-masing muncul juara kejohanan Terbuka Lincoln dan Terbuka Wichita tiga bulan lalu.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 1:15pm
d