arena

Skuad olahraga sasar 40 emas

Oleh Jumiati Rosly

SKUAD olahraga negara bakal menjadi tumpuan pada Sukan Para ASEAN kesembilan apabila dijangka menjadi antara penyumbang pingat emas terbesar kontinjen negara dengan meletakkan sasaran 40 emas.

Pengurus pasukan negara Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata, terdapat keseluruhan 133 emas ditawarkan dalam olahraga dan Malaysia akan menyertai dalam hampir semua acara yang dipertandingkan.

“Olahraga menjadi sukan yang paling banyak menawarkan emas dan kami harap dapat menyumbang lebih kurang 40 peratus daripada 103 emas keseluruhan yang ditawarkan,” katanya pada sidang media Kita Juara Para ASEAN di sini hari ini.

Zarrawi berkata, skuad olahraga negara menyenaraikan 72 atlet dengan 24 daripadanya adalah atlet muda.

Ketua jurulatih olahraga negara R Jaganathan berkata, sasaran 40 emas itu mampu dicapai biarpun negara tidak pernah mencapai rekod itu.

“Ketika di Singapura (2015) kami memperoleh 27 emas, paling banyak kami dapat 38 emas di Nay Pyi Daw (2014) dan Korat (2008). Semasa di Singapura sebanyak 22 acara sama ada digugurkan atau digabungkan jadi saya yakin kami dapat atasi pencapaian di sana,” katanya.

Jaganathan berkata, beliau mengharapkan atletnya menghadiahkan pingat emas namun tidak begitu memberi penekanan mengenai catatan rekod yang dilakukan.

“Jadual kali ini agak padat bagi atlet lagipun saya tidak mahu terlalu memberi penekanan terhadap catatan masa kerana sasaran sebenar adalah Sukan Asia di Jakarta tahun depan,” katanya.

Acara olahraga berlangsung dari 18 hingga 23 September ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 3:31pm
d