arena

Tak sanggup pisah

Oleh Mohd Khairie Khalid

RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan menegaskan dia tidak sanggup berpisah dengan jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim.

Ini kerana jurulatih itu adalah individu penting yang mencoraknya dari bawah hingga mampu menjadi jaguh di peringkat Asia Tenggara. Bagaimanapun atlet berusia 19 tahun boleh bertolak ansur jika ada jurulatih luar yang menjalinkan kerjasama bersama Poad.

“Saya tidak sanggup berpisah dengan jurulatih (Poad) kerana beliau yang membentuk saya dari bukan sesiapa, kosong hingga berjaya sekarang ini. Saya sudah bersamanya sejak berusia 15 tahun yang ketika itu saya hanya mampu berlari acara 100m dengan catatan masa 12 saat.

“Tapi jika adanya kerjasama jurulatih saya (Poad) dengan jurulatih luar, saya OK sebab hanya jurulatih saya yang sekarang tahu apa yang saya perlukan,” kata Khairul hari ini.

Mengulas lanjut, pemegang tiga rekod kebangsaan itu berkata, selepas ini dia akan menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor dan mengikut jadual ditetapkan Poad.

Sebelum ini media melaporkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad berpendapat Khairul mampu menakluk pentas Asia sekiranya mendapat sokongan penuh semua pihak termasuk kepakaran jurulatih dari luar negara.

Bagaimanapun khidmat jurulatihnya tidak diketepikan kerana kombinasi antara jurulatih itu dengan tenaga pakar dari luar negara dijangka mampu menjadikan atlet berkenaan jaguh di pentas Asia.

Kejayaan Khairul di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mendapat pengiktirafan UFL apabila syarikat itu memberikan ganjaran sebanyak RM2,000 serta alat senaman personal power plate bernilai RM13,000.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 3:40pm
d