arena

Enggan putih mata di laman sendiri

Oleh Syafiq Aznan

PASUKAN bola sepak lima sebelah Paralimpik negara enggan berputih mata di laman sendiri dan sudah bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka dua tahun lalu pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017).

Jelas pemain pertahanannya, Rollen Marakim, semangat rakan sepasukan kini begitu membara terutamanya selepas berpeluang untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri yang mana sudah pasti ia menjadi motivasi terbesar buat mereka menuju ke temasya yang memasuki edisi kesembilan kali ini.

“Di temasya Myanmar 2014, kami sekadar membawa pulang pingat perak kerana tewas di tangan seteru utama, Thailand namun di Singapura dua tahun lalu, kami menebus kekecewaan dengan menundukkan Thailand sekali gus membawa pulang pingat emas ke tanah air.

“Jadi, dengan aksi di Kuala Lumpur kali ini, sudah pasti kami mahu mempertahankan pingat emas dan tidak mahu ia dimenangi oleh negara lain. Kami akan berjuang berhabis-habisan untuk mengekalkan pingat emas sekali gus menjadi penyumbang kepada 103 emas yang disasarkan,” katanya hari ini.

Skuad bola sepak lima sebelah dibarisi oleh empat pemain kategori B1 atau buta sepenuhnya yang akan dibantu oleh penjaga gol normal yang tidak pernah berdaftar dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan perlawanan berlangsung selama 25 minit setiap separuh masa.

Selain itu, pasukan juga dibenarkan untuk menggunakan seorang petunjuk arah untuk membantu memberikan arahan ketika bertahan mahupun menyerang dengan perlawanan menggunakan bola berisi loceng untuk memudahkan pemain mengesan kedudukan bola.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 3:57pm
d