arena

Immobile julang Itali

Oleh AFP

REGGIO EMILIA, Itali: Tandukan Ciro Immobile pada babak kedua membantu Itali kembali meraih rentak kemenangan apabila mengatasi Israel 1-0 di Reggio Emilia awal pagi tadi sekali gus menghampiri langkah ke Piala Dunia 2018.

Sesudah kecundang 0-3 kepada Sepanyol di Santiago Bernabeu Sabtu lalu, Itali memerlukan kemenangan untuk terus memburu tangga teratas Kumpulan G Eropah, menjurus kepada kelayakan secara automatik.

Itali masih mempunyai peluang untuk berakhir sebagai juara kumpulan ketika mereka ketinggalan tiga mata di belakang Sepanyol dengan baki dua perlawanan namun play-off dilihat lebih nyata buat mereka.

Sepanyol mengungguli kumpulan itu apabila membelasah Liechtenstein 8-0.

Tiga mata di Stadium Mapei membantu Itali mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Kumpulan G, enam mata di depan pasukan tangga ketiga Albania yang diikat 1-1 oleh Macedonia.

“Jelas keputusan ini menjadi keutamaan tapi saya gembira,” kata jurulatih Giampiero Ventura.

“Kami menghabiskan 80 minit di kawasan lawan sekalipun kami tidak bertindak baik pada babak pertama. Ia satu langkah yang sepatutnya meyakinkan kami untuk bertindak lebih bagus lagi.”

Itali hanya menyerlah selepas rehat dengan percubaan tepat pertama buat Immobile pada minit ke-48. Lima minit kemudian penyerang Lazio itu memecah kebuntuan menerusi tandukan hasil hantaran lambung Antonio Candreva.

“Kami perlukan kemenangan, ia perkara positif. Selepas gol itu semunya lebih mudah,” kata Candreva.

Perlawanan Itali berikutnya menentang Macedonia di Turin dan Albania di gelanggang lawan bulan depan.

Kali terakhir Itali bermain aksi play-off adalah pada 1997 dalam laluan ke Piala Dunia Perancis 1998.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 9:51am
d