arena

Kolarov benam Ireland

Oleh Reuters

DUBLIN: Rembatan mengagumkan Aleksandar Kolarov pada babak kedua mencetus kekalahan pertama Republik Ireland pada kelayakan Piala Dunia 2018 sekali gus membantu Serbia mengungguli Kumpulan D zon Eropah, awal pagi tadi.

Gol pemain pertahanan AS Roma itu hadir 10 minit selepas rehat dan di sebalik persembahan bersemangat tuan rumah, Serbia berjaya mempertahankan kemenangan tipis 1-0 sekalipun Nikola Maksimovic dibuang padang pada minit ke-68.

Ireland merudum ke tangga ketiga kumpulan, satu mata di belakang Wales yang menundukkan Moldova 2-0, dan kini memerlukan dua kemenangan ke atas Moldova dan Wales untuk sekurang-kurangnya memastikan tempat ke play-off.

Kemenangan itu membantu Serbia unggul empat mata di depan dengan baki dua perlawanan menentang Austria di laman lawan selain menanti kunjungan Georgia.

Serbia, seperti Ireland dan Wales tampil pada perlawanan itu dengan rekod tanpa kalah, mempunyai peluang lebih banyak pada awal perlawanan dan berhak mendahului pada minit ke-55 apabila rembatan Kolarov terkena palang sebelum masuk sekali gus menenggelamkan sorakan penyokong tuan rumah di Stadium Aviva.

Mereka terpaksa beraksi suku terakhir dengan 10 pemain apabila Maksimovic dibuang padang kerana kekasaran profesional dan terselamat daripada permintaan penalti Ireland yang tidak diendahkan.

“Kami perlu percaya bahawa kami boleh menang dua aksi terakhir dan layak. Kami perlu terus berjuang,” kata pertahanan Ireland, Ciaran Clark.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 10:12am
d