arena

Froome kekal pendahulu

Oleh AFP

LOGRONO, Sepanyol: Chris Froome memenangi peringkat keduanya pada perlumbaan Vuelta a Espana 2017 untuk mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu keseluruhan di depan Vincenzo Nibali kepada 1 minit 58 saat selepas mengungguli ujian masa individu, awal pagi tadi.

Froome mengatasi Wilco Kelderman dan Nibali dengan masa 47 minit bagi perlumbaan peringkat ke-16 sejauh 40.2km dari litar lumba motosikal Navarra ke Logrono.

“Satu perasaan yang amat mengagumkan untuk megukuhkan pendahuluan saya sekarang dan berada dalam posisi ini,” kata Froome.

“Ia satu posisi hebat untuk dihuni sekarang tapi perlumbaan belum berakhir.”

Pelumba Britain itu, yang mengintai peluang muncul pelumba ketiga dalam sejarah memenangi Tour de France dan Vuelta dalam tahun sama, kini hanya berdepan empat peringkat kompetitif untuk menpertahankan kedudukannya sebelum perarakan tradisi sekitar Madrid, Ahad ini.

Bagaimanapun, persembahan cemerlang Nibali yang berakhir 57 saat di belakang Froome mengekalkan harapannya untuk meraih kemenangan kedua Vuelta dengan beberapa siri pendakian perlu dihadapi, termasuk pendakian utama Sabtu ini di Alto de L’Angliru.

Catatan tempat kedua Kelderman, 29 saat di belakang Froome, melonjakkan pelumba Belanda itu 27 saat di depan pelumba Russia, Ilnur Zakarin di tangga ketiga.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 12:44pm
d