arena

Jamery tekad pertahan emas

Oleh Azlan Muhammad Zain

DUA pingat emas mahu dipertahankan perenang paralimpik negara Jamery Siga pada Sukan Para ASEAN walaupun terpaksa menanggung kesakitan di bahagian belakang pinggang.

Jelas atlet kelahiran Sarawak itu, dia mengalami kecederaan ketika menyertai kejohanan di Portugal tiga bulan lalu.

“Saya sekarang menjalani proses pemulihan dan pada tahap 60 peratus untuk pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan otot di belakang pinggang namun ia tidak mematahkan semangat untuk turun beraksi.

“Ini peluang saya beraksi di tempat sendiri. Saya tidak mahu melepaskannya dan akan “mengetepikan” kesakitan bagi mempertahankan emas dua tahun lalu,” katanya.

Atlet yang beraksi di Sukan Paralimpik Rio itu mememangi dua emas menerusi acara 200 meter gaya bebas dan 50m kuak kupu-kupu selain dua perak (50m dan 100m gaya bebas) dalam kategori S5 (cerebral palsy) di Singapura dua tahun lalu.

“Ketika berlatih memang masih terasa kesakitan namun tekad mempertahankan dua emas yang dimenangi itu,” katanya yang tampil buat kali ketiga pada temasya dwitahunan itu selepas 2014 di Myanmar.

Dua tahun lalu di Singapura, atlet renang negara memenangi tujuh emas secara keseluruhan dan kini meletakkan sasaran untuk mengatasi pencapaian itu.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 3:10pm
d