arena

Rekod baru Venus

Oleh AFP

NEW YORK: Pemegang tujuh gelaran Grand Slam, Venus Williams muncul pemain paling tua layak ke separuh akhir dalam sejarah tenis Terbuka Amerika Syarikat pada usia 37 tahun apabila dia menewaskan juara Wimbledon dua kali Petra Kvitova 6-3, 3-6, 7-6 (7/2), pagi tadi.

Venus, pilihan kesembilan dari AS yang memburu kejuaraan ketiga Terbuka AS, mara ke separuh akhir menentang pemain ranking ke-83 dan rakan senegara Sloane Stephens esok.

“Saya bernasib baik memenangi perlawanan itu. Ia terlalu sengit,” kata Venus. “Saya cuba berseronok dengan pertandingan ini, menikmati pertarungan dan saya fikir mampu melakukannya.”

Dalam kategori lelaki, pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson layak ke separuh akhir Grand Slam kali pertama apabila dia akan berdepan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta yang turut mara ke separuh akhir buat julung kali dalam kejuaraan utama.

Sloane, yang berehat 11 bulan kerana kecederaan kaki kiri sebelum kembali ke Wimbledon, menyamai pencapaian terbaiknya pada Grand Slam dengan menyingkirkan pilihan ke-16 dari Latvia, Anastasija Sevastova 6-3, 3-6, 7-6 (7/4).

“Ini amat menakjubkan,” kata Sloane. “Apabila saya kembali beraksi di Wimbledon saya tidak pernah membayangkan untuk kembali dan meraih keputusan ini. Ia sukar digambarkan.”

Sloane menang 13 daripada 15 perlawanan terakhirnya dan menyamai pencapaian layak ke separuh akhir Terbuka Australia 2013 bagi rekod terbaik dalam acara Grand Slam.

Venus, yang memperbaiki rekod pertemuan sepanjang zaman 2-4 menentang pilihan ke-13 dari Republik Czech itu, akan kembali ke kelompok lima terbaik buat kali pertama sejak Januari 2011.

Venus, pemain tertua layak ke separuh akhir acara Grand Slam sejak Martina Navratilova di Wimbledon pada 1994, menang kejuaraan Terbuka AS 2000 dan 2001.

Dia muncul naib juara Terbuka Australia dan Wimbledon tahun ini dan boleh layak ke tiga final Grand Slam setahun buat kali pertama sejak 2002.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 3:52pm
d