arena

Prestasi hambar sukar diterima BAM

Oleh Jumiati Rosly

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak gembira dengan persembahan pemain badminton negara di Sukan SEA 2017 (KL2017) dan juga Kejohanan Dunia di Glasgow baru-baru ini.

Dalam mesyuarat pasca dua kejohanan itu hari ini, Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata dia sedar ramai peminat yang risau tentang prestasi pemain negara dalam pada dua kejohanan itu.

“Secara keseluruhan, kita tidak gembira dengan prestasi yang berlaku (terhadap pemain negara).

“Oleh kerana tarikh kejohanan berlangsung serentak, keadaan itu menyebabkan kita menghantar pemain utama ke Kejohanan Dunia manakala pemain pelapis bertanding dalam KL2017,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di pejabat BAM, hari ini.

Ketika Sukan SEA baru berakhir 30 Ogos lalu, skuad badminton yang meletakkan sasaran memenangi dua emas sekadar membawa pulang satu emas, lima perak dan dua gangsa.

Namun begitu pemain negara mara dalam lima daripada tujuh acara dipertandingkan.

Pada Kejohanan Dunia, bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dikejutkan apabila tewas di pusingan pertama manakala beregu lelaki yang dibarisi Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Chooi Kah Ming-Low Juan Shen gagal melepasi pusingan kedua.

Norza menasihati jurulatih dan atlet terbabit agar bangkit daripada kekecewaan pada dua kejohanan terbabit.

Malah satu pelan tindakan masa depan akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), minggu depan.

Mengenai prestasi ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek yang memegang jawatan lebih kurang lapan minggu sebelum dua kejohanan itu, Norza akui masa diberikannya singkat.

“Apa pun kekalahan pemain perseorangan lelaki negara di Sukan SEA atau Kejohanan Dunia adalah tidak boleh diterima daripada segi persembahan. Saya memberi tahu kepada dia (Misbun) untuk kemukakan perancangan segera bagi mengkaji apa yang telah berlaku,” katanya.

Norza berkata Misbun bagaimanapun mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan akan mengemukakan kertas cadangan bagi membaiki kelemahan yang ada pada mesyuarat C&T minggu depan.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 4:56pm
d