arena

Karolina hanya bertahan lapan minggu

Oleh AFP

NEW YORK: Status Karolina Pliskova (gambar) sebagai pemain tenis wanita nombor satu dunia hanya bertahan selama lapan minggu susulan kekalahannya pada suku akhir Terbuka Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pemain Republik Czech itu menegaskan tiada apa yang berubah dalam dirinya biarpun tidak lagi memegang status pemain nombor satu dunia.

Tampil sebagai pilihan utama, Karolina yang juga naib juara Terbuka AS tahun lalu, tewas kepada pemain tuan rumah, CoCo Vandeweghe 6-7 (4/7), 3-6 sekali gus terlepas peluang merangkul gelaran Grand Slam buat kali pertama.

“Saya tidak kisah. Saya tidak fikir sesuatu yang berubah jika anda pemain nombor dua dunia. Saya tidak lihat perbezaan dalam hal ini.

“Bagi saya, tiada perubahan. Saya berada di situ (pemain nombor satu dunia) untuk beberapa minggu, mungkin jika berada di situ selama setahun ia akan membawa perubahan,” kata Karolina.

Bergelar pemain nombor satu dunia tanpa gelaran Grand Slam membuatkan Karolina tidak boleh lari daripada kritikan tetapi menegaskan dia tidak berkecil hati.

“Pasti akan ada orang yang mengata. Saya tidak kisah mengenai perkara ini.

“Saya tidak memilih untuk berada di kedudukan ini, jadi saya harap saya boleh dapat banyak lagi peluang. Masih banyak kejohanan Grand Slam selepas ini, saya percaya saya boleh memenangi satu daripadanya,” ujarnya.

Kekalahan Karolina sebelum aksi final menyaksikan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia dirampas oleh pemain Sepanyol, Garbine Muguruza yang memenangi gelaran Grand Slam kedua di Wimbledon, Julai lalu selain muncul juara di Cincinnati.

Garbine yang tewas pada pusingan keempat Terbuka AS di tangan Petra Kvitova dari Republik Czech menjadi pemain ke-24 menghuni ranking teratas dunia dalam sejarah WTA.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 9:53am
d