arena

Wenger makin terdesak

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) mendapati beliau berdepan masalah sama beberapa minggu sebelum musim baru bermula menerusi kemarahan peminat kelab itu selain gagal menangani masalah kontrak membabitkan pemain bintangnya.

Justeru, Wenger kini dilihat semakin terdesak untuk menyelamatkan reputasinya sebagai pengurus Gunners.

Empat bulan lalu, pengurus dari Perancis itu meraikan kejayaan anak buahnya menjulang trofi Piala FA Inggeris selepas menewaskan Chelsea yang diharap mampu menjadi era baru buat pengendali berusia 67 tahun itu dalam misi memburu lebih banyak trofi kejuaraan.

Bagaimanapun selepas permulaan hambar dalam saingan Liga Perdana musim ini, Wenger sekali lagi terperangkap dengan masalah sama dialaminya termasuk aksi longlai pemain di tengah padang selain urusan belakang tabir.

Tewas kepada Stoke City dan dimalukan dengan kekalahan 0-4 di tangan Liverpool di Anfield, desakan untuk Wenger meletak jawatan kembali disuarakan penyokong kelab itu.

Memburukkan lagi keadaan, pengurus Arsenal itu - yang mencetus revolusi permainan bola sepak Inggeris dengan menekankan aspek pemakanan dan kecergasan sejak menyertai kelab itu pada 1996 - dibelenggu masalah kontrak pemain bintangnya Alexis Sanchez dan Mesut Ozil.

Wenger mengambil risiko apabila menolak permintaan Sanchez untuk berpindah ke Manchester City sebelum jendela perpindahan ditutup minggu lalu.

Lantaran Sanchez enggan memperbaharui kontraknya yang tamat hujung musim ini.

Ia mencetus kesukaran buat Wenger untuk mendapatkan komitmen penuh penyerang Chile itu.

Kontrak Ozil juga akan tamat tahun ini dan prestasi tidak menentu pemain tengah Jerman itu sejak dua tahun lalu menyaksikan Wenger didesak untuk tidak lagi mengharapkan khidmatnya.

Pemain kebangsaan England, Alex Oxlade-Chamberlain dan Kieran Gibbs dijual sebelum tarikh tutup perpindahan pemain kerana mereka tidak berminat untuk menandatangani kontrak baru manakala Wenger gagal membeli Thomas Lemar dari AS Monaco apabila tawarannya ditolak.

Melihat riak wajah Wenger ketika skuad kendaliannya tewas di tangan Liverpool, ia sukar untuk dipercayai kerana seminggu sebelum itu pengurus berkenaan melaungkan keyakinan pasukannya mampu menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak kali terakhir memenanginya pada 2004.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 10:12am
d