arena

Reds tak sabar 'telan' City

Oleh Reuters

LONDON: Liverpool pasti bersemangat ketika mereka melakukan kunjungan singkat ke Manchester City Sabtu ini dengan harapan untuk muncul antara pencabar kejuaraan utama Liga Perdana Inggeris.

City kendalian Pep Guardiola dan jirannya Manchester United, bersama juara bertahan Chelsea sudah dianggap antara tiga pasukan yang mungkin bersaing untuk merebut kejuaraan, namun keyakinan memuncak di Merseyside selepas kemenangan besar bulan lalu.

Kejayaan membelasah Arsenal 4-0 sebelum rehat tugasan antarabangsa bermakna anak buah Juergen Klopp meraih tujuh mata daripada maksimum sembilan dalam tempoh awal musim yang mana mereka turut menang aksi playoff Liga Juara-Juara ke atas Hoffenheim.

Apatah lagi urusan pembelian pemain Liverpool kali ini disanjung sebagai antara yang terbaik dalam kalangan kelab ternama.

Penyerang Mesir, Mohamed Salah dianggap antara pembelian terbaik selepas tiba dengan harga dilaporkan £36 juta (RM198 juta) dari AS Roma dan gol pada penampilan sulungnya termasuk menentang Hoffenheim dan Arsenal secara pantas menyebabkannya disayangi peminat tegar Anfield.

Pembelian hari terakhir jendela perpindahan Alex Oxlade-Chamberlain dari Arsenal, pemain yang dipercayai Klopp mampu menjadi pemain legenda Liverpool, menambah cengkaman di bahagian serangan yang sudah diperkuatkan oleh Sadio Mane dan Roberto Firmino dan tidak lama lagi lebih utuh dengan kembalinya Adam Lallana daripada kecederaan.

Kebangkitan pemain tengah Jordan Henderson, yang menjadi kapten England dua kali dalam tempoh seminggu lalu dan gol menakjubkan pemain remaja Ben Woodburn dalam penampilan sulungnya bersama Wales bermakna ketidaktentuan mengenai masa depan Phillipe Coutinho dan keinginannya untuk menyertai Barcelona boleh ditangani.

Tidak hairan pengulas bola sepak memandang hebat terhadap Liverpool.

“Saya tidak meletakkan harapan kepada Liverpool sebelum musim bermula tapi mereka sudah melakukan pembelian terbaik dan mengekalkan Coutinho yang menjadi satu rangsangan buat mereka,” akui pemain legenda Manchester United, Ryan Giggs minggu ini.

“Selepas urusan yang dilakukan mereka, saya mungkin mengubah fikiran dan mereka pasti berada dalam kelompok pesaing utama.”

Liverpool memiliki rekod baik menentang City - menang empat daripada enam pertemuan terakhir liga dan kali terakhir kalah kepada lawan dalam liga tiga tahun lalu.

Musim lalu, anak buah Klopp meraih 20 mata daripada perlawanan mereka menentang Chelsea, Tottenham Hotspur, City, United dan Arsenal – lebih banyak berbanding mana-mana kelab - dan kejayaan mereka membelasah Arsenal mengekalkan prestasi baik mereka menentang kelab besar.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 12:09pm
d