arena

Froome kekal kelebihan 1 minit

Oleh AFP

LOS MACHUCOS, Sepanyol: Kelebihan Chris Froome sebagai pendahulu keseluruhan perlumbaan berbasikal Vuelta a Espana dikurangkan 42 saat kepada 1 minit 16 saat oleh Vincenzo Nibali ketika pelumba Austria, Stefan Denifl meraih kemenangan manis pada peringkat ke-17, awal pagi tadi.

Denifl memecut meninggalkan peloton pendahulu pada 5 kilometer terakhir dan mengatasi cabaran berani Alberto Contador untuk memenangi peringkat berbukit 180.5km dari Villadiego ke Los Machucos dalam masa 4 jam 48 minit 52 saat.

Contador hanya berbeza 28 saat di belakang ketika dia mencerahkan peluang untuk menamatkan kempen di podium bersama pelumba Colombia, Miguel Angel Lopez 1 minit 4 saat di belakang di tangga ketiga.

Froome kelihatan hampir pasti berjaya dalam bidaannya untuk muncul hanya pelumba ketiga dalam sejarah memenangi kejuaraan berganda Tour de France dan Vuelta pada tahun sama.

Namun dia kelihatan terjejas sedikit selepas menang ujian masa individu kelmarin apabila dia tertinggal dalam pendakian terakhir dan tidak mampu kekal bersama Nibali.

Pelumba Itali itu berada di samping Lopez di tangga keempat manakala Froome di tangga ke-14.

“Saya mungkin terjejas sedikit kerana usaha semalam (kelmarin), tapi saya masih dalam posisi fantastik,” kata Froome.

“Ada lebih satu minit berbanding pelumba di tangga kedua jadi ia satu jurang yang bagus dan saya yakin mengenainya bagi beberapa hari akan datang.”

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 12:30pm
d