arena

Kedah layan TRW guna 'kaki muda'

SKUAD Kedah berdepan Kelantan pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok tanpa tujuh pemain senior yang direhatkan selepas menggalas cabaran kebangsaan, baru-baru ini.

Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff berkata, skuad Helang Merah menumpukan kepada pemain muda skuad Sukan SEA untuk menggalas cabaran perlawanan terakhir Kumpulan C itu.

"Pemain muda terbabit perlu bersiap menggalas tugas Sabtu (esok) kerana tujuh tonggak baru pulang mewakili skuad Harimau Malaya menentang Hong Kong, baru baru ini.

"Saya mahu pemain mendapat rehat secukupnya untuk mengembalikan tahap kecergasan agar berada pada tahap terbaik. Kami mempertimbang memberi laluan kepada pemain muda beraksi menggantikan mereka," katanya selepas sesi latihan di Stadium Darul Aman.

Tujuh pemain terbabit adalah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Syazwan Zainon, Khairul Helmi, Akram Mahinan, Fitri Omar dan Farhan Abu Bakar.

Pemain muda Sukan SEA 2017 iaitu Amirul Hisyam, Arif Farhan, Ifwat Akmal dan Syafiq Ahmad berpeluang diturunkan esok kecuali Akhyar Rashid kini bersama skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara menghadapi Kejuaraan AFF B-18 2017 sedang berlangsung hingga 17 September di Myanmar.

"Walau layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, saya harap semua pemain dipilih tidak mengambil mudah dalam aksi bertemu Kelantan kerana mereka (Kelantan) dikalahkan 5-0 pada Liga Super pada 26 Julai lalu di Stadium Darul Aman ini pastinya mahu menebus kekalahan.

"Kita pernah tewas 1-3 kepada Kelantan sewaktu aksi Piala Malaysia di Kota Bharu 18 Julai lalu. Ini memberi pengajaran memperbaiki kelemahan menghadapi ujian lebih besar mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

"Jadi kita perlu turun dengan semangat tinggi dan kekal momentum terbaik hingga ke final," kata Nidzam.

Beliau berpuas hati dengan tahap kecergasan pemain lain sepanjang latihan.

"Saya dapati pemain import bersemangat mahu membuktikan ketajaman apabila saingan Piala Malaysia kembali selepas berehat selama sebulan," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 5:22pm
d