arena

Sloane, Madison ke pentas final

Oleh AFP

New York: Dua pemain Amerika Syarikat Sloane Stephens dan Madison Keys, kedua-duanya pernah bergelut dengan kecederaan serius tiga bulan lalu kini mara ke final Grand Slam sulung masing-masing di Terbuka AS semalam.

Sloane yang tidak beraksi selama 11 bulan berikutan kecederaan kaki kiri sebelum kembali Julai lalu, menewaskan juara Grand Slam tujuh kali Venus Williams 6-1, 0-6, 7-5.

“Saya terlalu gembira apabila berada di final Grand Slam,” kata Sloane.

“Melakukannya di sini, di tempat sendiri menjadikannya lebih istimewa. Saya fikir itulah yang diimpian setiap pemain.”

Madison, pilihan ke-15 dari AS yang mengalami pembedahan pergelangan tangan kiri buat kali kedua dalam tempoh 10 bulan selepas tersingkir di Terbuka Perancis pada pusingan pertama membelasah pilihan ke-20 juga dari AS CoCo Vandeweghe 6-1, 6-2 dalam tempoh 66 minit untuk melengkapkan final pertama membabitkan dua pemain AS sejak Serena Williams menewaskan kakaknya Venus pada 2002.

“Ia bagaikan mimpi. Saya masih menggeletar,” kata Madison.

“Saya bermain dengan baik. Banyak yang masih bermain di fikiran saya sekarang jadi sukar untuk saya mengeluarkan kata-kata.

“Saya sedar saya perlu menyahut cabaran. Saya gembira mara ke final.”

Sahabat dan rakan sepasukan Piala Fed itu akan bertemu di Stadium Arthur Ashe dalam perlawanan terpenting dalam karier masing-masing.

“Sudah lama saya mengenalinya. Dia salah seorang rakan paling rapat dalam jelajah,” kata Sloane.

“Saya menyayanginya sehingga mati dan bukan mudah untuk menetang seorang rakan.”

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 4:32am
d