arena

Drama 1999 jadi ingatan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) pada 1999 pasti paling diingati peminat tempatan kerana ia perlumbaan pertama dianjurkan Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) - litar serba baru yang dilabel antara terbaik ketika itu.

Selaku penganjur, Malaysia pastinya berdebar-debar untuk mengendalikan perlumbaan paling berprestij di dunia itu tetapi segala-galanya berjalan lancar sehingga tamat perlumbaan.

Namun selain keterujaan menyaksikan jentera F1 memacu laju di atas litar di depan mata, perlumbaan itu juga mencetuskan beberapa ‘drama’ yang menambahkan keterujaan peminat tempatan ketika itu.

Pasti ramai yang masih mengingati bagaimana pelumba sensasi Michael Schumacher yang beraksi bersama Ferrari, kembali beraksi selepas berehat panjang kerana berdepan kecederaan patah kaki.

Paling menakjubkan dia berjaya menyambar petak pertama dengan rakan sepasukan Eddie Irvine di petak kedua diikuti seteru utama dari McLaren Mercedes David Coulthard, ketiga.

Bagaimanapun perlumbaan itu dimenangi Irvine diikuti Schumacher dan Mika Hakkinen (McLaren Mercedes) ketiga.

Selepas tamat perlumbaan, kedua-dua jentera Ferrari itu dibatalkan kemenangan mereka kerana kesalahan membabitkan aerodinamik kereta.

Bagaimanapun Ferrari mengemukakan rayuan dan kemenangan kembali berpihak kepada mereka.

Pada saingan dua pusingan terakhir sebelum tamat musim ketika itu, Irvine mendahului Hakkinen dengan kelebihan hanya empat mata tetapi Ferrari berjaya merampas kedudukan pengeluar daripada McLaren, juga dengan perbezaan empat mata.

Kejayaan perlumbaan sulung pada 1999 menyaksikan keterujaan ramai untuk melihat penganjuran pada 2000 pula.

Kali ini, Ferrari mengesahkan kejuaraan kategori pengeluar selepas Schumacher memenangi perlumbaan sementara rakan sepasukan Rubens Barrichello meraih tempat ketiga. Coulthard (McLaren Mercedes) ketiga.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 4:51am
d