arena

FAM lulus tujuh lesen kelab untuk beraksi musim depan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Juara Liga Super 2017 Johor Darul Ta’zim (Johor DT) antara tujuh daripada 12 pasukan Liga Super musim ini lulus dalam permohonan mereka mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi musim depan.

Turut mengiringi Johor DT adalah enam pasukan Selangor, Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang dan T-Team FC.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam kenyataan semalam berkata, perkara itu diputuskan selepas membuat penilaian pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM pada 24 Ogos lalu.

Lebih membanggakan, empat daripada tujuh pasukan berkenaan iaitu Johor DT, Selangor, Pahang dan PKNS FC turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak.

“Ini tahun penting dalam permulaan kita membangunkan pelesenan kelab ini yang mana kita menetapkan setiap pasukan yang ingin bertanding dalam saingan Liga Super 2018 serta pertandingan peringkat AFC bagi 2018 perlu memiliki lesen kelab,” katanya.

Sementara itu, permohonan lima pasukan Liga Super membabitkan FELDA United, Kedah, Kelantan, Melaka United dan Sarawak ditolak kerana gagal menepati enam kriteria utama ditetapkan.

Antara kriteria utama diambil kira adalah kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Bagaimanapun, pasukan yang gagal masih boleh mengemukakan rayuan.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 4:59am
d