arena

Dybala ubah rentak Juve

Oleh AFP

MILAN: Paulo Dybala mencetus inspirasi kemenangan 3-0 Juventus ke atas Chievo awal pagi tadi bagi membolehkan penyandang juara Serie A itu kekal tidak kalah menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Barcelona pertengahan minggu depan.

Tiga hari menjelang kunjungan ke Nou Camp, Massimiliano Allegri menguji pemainnya selepas rehat tugasan antarabangsa yang menyebabkan pasukan juara itu kehilangan beberapa pemain tonggak.

Namun persembahan Dybala mengundang pujian Allegri selepas penyerang Argentina itu masuk pada minit ke-50 bagi memastikan kemenangan selesa.

“Dia mempunyai segala-galanya untuk muncul seorang daripada dua pemain terbaik di dunia di samping Neymar, apabila (Lionel) Messi dan (Cristiano) Ronaldo bersara,” tegas Allegri.

“Peningkatannya amat ketara, sama ada secara teknikal atau fizikal.”

Bagaimanapun tuan rumah patut berterima kasih kepada Chievo kerana gol pertama dengan pemain tengah Finland, Perparim Hetemaj secara tidak sengaja tertanduk masuk gol pembukaan selepas 16 minit di Turin berikutan sepakan percuma pemain tengah Bosnia, Miralem Pjanic.

Kemasukan Dybala sebagai pemain gantian pada babak kedua mengubah corak permainan Juventus dan dia mengumpan kepada Gonzalo Higuain bagi gol kedua pada minit ke-58 sebelum menokok gol ketiga tujuh minit sebelum tamat - gol kelimanya dalam Serie A musim ini.

“Pasukan ini menang, ada ruang untuk bermain dan apabila jurulatih membawa saya masuk kami mengubah strategi,” kata Dybala, yang menjaringkan gol dalam semua tiga aksi pertama liga.

“Saya agak letih (tugasan antarabangsa bersama Argentina) tapi saya gembira dengan gol ini. Bulan ini amat penting, kami menghormati Barcelona tapi akan ke sana untuk bermain dengan bagus.”

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 10:23am
d